Wednesday, April 4, 2012

DI PERSIMPANGAN IMAN..

Salam buat semua. Semoga kalian semua sihat dan ceria selalu. amma ba’d..

Setiap hari kita terdedah dengan pelbagai maksiat dan kemungkaran. Saya sendiri dalam satu hari tidak akan terlepas daripada memandang aurat perempuan, tidak pernah sunyi daripada mendengar orang mencarut, tidak pernah aman daripada mendengar berita-berita di akhbar tentang gejala muda mudi sekarang ini. Perkara ini sebenarnya ujian buat para mukmin di akhir zaman. Allah berfirman kepada kita:

“maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya. sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu. dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.”

Inilah firman Allah memberitahu kita bahawa di dunia ini kita tidak akan terlepas daripada berdiri di persimpangan iman. Berpandukan ilmu dan tarbiah yang kita terima sepanjang perjalanan hidup kita, buatlah kita pemilihan yang terbaik.

Syaitan sangat licik dalam menipu daya kita. Kadang-kadang dia yang menyuruh kita membuat kebaikan agar timbulnya u’jub dalam diri kita. Kadang-kadang dia menghalang kita membuat kebajikan dengan membisik pelbagai perkara-perkara duniawi kepada kita. Itulah sebahagian cara syaitan ingin menyesatkan kita. Sebenarnya, tidak akan rugi sedikit pun bagi sesiapa yang mengingkari syaitan bahkan akan bergembira di hari akhirat kelak. Tujuan syaitan menyesatkan kita adalah kerana dendam kesumatnya terhadap Nabi Adam AS dan ingin mencari sahabat dalam neraka kelak. Syaitan sedikit pun tidak akan bertanggungjawab terhadap diri kita di hari akhirat kelak sebagaimana firman Allah :

“Dan berkatalah syaitan tatkala perkara (hisab) telah diselesaikan: "Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadamu janji yang benar, dan akupun telah menjanjikan kepadamu tetapi aku mengkhianatinya. Sekali-kali tidak ada kekuasaan bagiku terhadapmu, melainkan (sekadar) aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku, oleh sebab itu janganlah kamu mencerca aku akan tetapi cercalah dirimu sendiri. Aku sekali-kali tidak dapat menolongmu dan kamupun sekali-kali tidak dapat menolongku. Sesungguhnya aku tidak membenarkan perbuatanmu mempersekutukan aku (dengan Allah) sejak dahulu." Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu mendapat siksaan yang pedih.”

Inilah dialog diantara syaitan dan pengikutnya. Masing-masing saling menuduh tetapi syaitan pada hari itu pun mengaku dia hanya menyeru tetapi tidak berkuasa membantu menyelamatkan pengikutnya. Kita hari ini terlalu mudah mengikut arahan syaitan. Syaitan kata makan benda haram, kita sumbat.Syaitan kata tengok perempuan ajnabi, kita tengok. Syaitan suruh kita mengumpat, kita mengumpat.

Oleh itu, saya dengan rendah hatinya mengajak diri saya dan sahabat-sahabat yang saya kasihi sekalian agar meninggalkan segala daki-daki dosa yang kita lakukan. Marilah sama-sama kita ishtiharkan perang terhadap syaitan dengan membenci untuk melakukan dosa dan kemungkaran. Leburkanlah sedikit keegoan kita, agar kita sentiasa di atas landasan Allah dan Rasulullah SAW. Yakinlah, keegoan kita dengan Allah tidak akan ke mana.

Wallahualam.